PUTRAJAYA – Kaji selidik Solidariti dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kaji selidik diselaraskan WHO di seluruh dunia itu adalah satu usaha julung kali dilakukan bagi mengumpul data boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyegerakan proses pelaksanaan kaji selidik ubat untuk merawat pesakit Covid-19 yang akan bermula tidak lama lagi”, tambah beliau.
Sembilan hospital akan terlibat dalam usaha tersebut iaitu Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth (Sabah).
Kaji selidik itu akan diketuai oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang Dr Chow Ting Soo bersama-sama pasukan yang terdiri daripada 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital-hospital KKM masing-masing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM memberi jaminan bahawa kaji selidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu pencarian ubat menyelamatkan nyawa mangsa Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya,” kata Dr Noor Hisham.
Beliau menambah bahawa Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kaji selidik WHO di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Ying-Ru Lo berkata pandemik global itu telah menjejaskan lebih 180 negara dan kaji selidik satu daripada ubat-ubatan berkenaan menjadi harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti COVID-19.
Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kaji selidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini,” katanya.