Sesi persekolahan dipinda elak gelombang baharu COVID-19

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran hanya membenarkan sesi persekolahan diteruskan semula selepas penularan COVID-19 pulih sepenuhnya bagi mengelak gelombang baharu wabak itu.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata kementerian juga perlu mendapat pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan bagi menetapkan tarikh permulaan sesi persekolahan.

Katanya, setiap operasi adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, selain Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan pandangan semua pihak, termasuklah pentadbiran sekolah, guru dan ibu bapa.

“Pelajar akan menduduki peperiksaan perlu diberi keutamaan, jika sesi persekolahan dibuka seawal Jun depan, selain Kementerian Pendidikan perlu fokus kepada subjek memerlukan bimbingan guru, khususnya Sains dan Matematik”

Mohd Azizee berkata, sesi persekolahan perlu dijalankan di kawasan bebas wabak, selain dewan orang ramai milik kerajaan wajar dipertimbangkan sebagai pusat pembelajaran sementara.

Bagi melancarkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid, katanya, pembelajaran digital dan akses penyampaian ilmu melalui siaran TV Pendidikan perlu dioptimumkan.

“Ini bagi memastikan pergerakan murid terhad tidak melebihi lima kilometer, membabitkan antara 10 hingga 30 orang, selain Kementerian Pendidikan perlu menentukan guru berhampiran untuk mengajar antara dua hingga empat jam selama tiga hari seminggu.

“KPM juga perlu menstruktur semula format soalan bersesuaian, selain Lembaga Peperiksaan Malaysia boleh menentukan subjek tertentu diuji secara atas talian manakala selebihnya dilaksanakan di pusat peperiksaan dengan SOP ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz turut menyuarakan pandangan sama dan meminta KPM merombak semula sesi persekolahan dengan pengubahsuaian cuti akhir tahun.

Ini kerana, katanya, kejayaan dalam memutuskan rantaian COVID-19 masih belum dapat dipastikan 100 peratus, sejurus tempoh PKP tamat.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here