KUALA LUMPUR: St John Ambulance Malaysia (SJAM) menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di seluruh negara.
SJAM dalam kenyataan di sini, hari ini, berkata pasukan petugas khas yang diketuai Ketua Komandernya, Datuk Lai See Ming bergerak aktif sejak bulan lalu bagi melaksanakan beberapa inisiatif antaranya menghasilkan pelindung muka bagi kegunaan petugas barisan hadapan.
Katanya, SJAM turut bekerjasama dengan Alumni Jurutera Petroleum daripada Universtri Teknologi Malaysia (UTM) untuk mengedarkan kotak aerosol kepada hospital di seluruh negara.
“Setakat semalam, SJAM sudah menyerahkan pelindung muka dan kotak aerosol kepada 81 hospital dan klinik serta beberapa agensi antaranya di Johor, Selangor, Putrajaya, Melaka, Kedah, Sabah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak”, katanya.
“Sebanyak 39,531 pelindung muka, 58 unit kotak aerosol, 3,550 penutup muka dan 200 helai gaun pakai buang diserahkan oleh SJAM,” katanya.
SJAM turut menyediakan perkhidmatan ambulans kepada Kementerian Kesihatan dan membantu memindahkan pesakit ke hospital.
“Sehubungan itu, kami merayu sokongan dan sumbangan orang ramai kepada usaha SJAM untuk membantu petugas barisan hadapan.
“Orang ramai boleh terus menyumbang kepada akaun St John Ambulance Malaysia (CIMB: 8000 41 555) atau e-mel kepada admin@sjam.org.my bagi kutipan sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya.