KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan berita tular berkaitan berlaku kematian disebabkan penyakit Covid-19 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata mesej berkenaan tular menerusi aplikasi sosial Whatsapp.
“Berita ini adalah tidak benar dan kita tiada menerima sebarang laporan mengenai perkara terbabit”, katanya.
Mengulas perkembangan COVID-19 di Sabah, Dr Christina berkata, 13 kes baharu dilaporkan semalam, masing-masing lima kes di Kota Kinabalu; Kinabatangan (tiga kes); Penampang (dua kes) dan satu kes di Tuaran, Beaufort dan Kunak.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 238 kes setakat semalam,” katanya.
Mengenai keperluan peralatan perlindungan diri (PPE), Dr Christina berkata penggunaan PPE di fasiliti kesihatan meningkat mendadak sejak kejadian penularan wabak COVID-19, dengan dianggarkan kira-kira 1,500 hingga 2,000 unit PPE digunakan di hospital dalam sehari dan 3,000 unit di klinik kesihatan untuk tempoh sama.
“Walaupun terdapat banyak halangan dan limitasi, makmal ini tetap dapat beroperasi manakala perkhidmatan makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) sudah mula beroperasi sejak 30 Mac lalu untuk ujian COVID-19. Ia dijangka mampu menampung bilangan ujian yang semakin meningkat,” katanya.
Sebanyak 15,879 ujian COVID-19 sudah dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu setakat kelmarin.