Tindakan tegas dikenakan ketika individu rakam tugas polis di sekatan jalan raya – KPN

KUALA LUMPUR – Individu yang sengaja merakam video atau mengambil gambar ketika penugasan anggota polis di sekatan jalan raya dengan niat untuk memberi persepsi negatif dalam media sosial boleh dikenakan tindakan tegas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perbuatan itu adalah tidak bertanggungjawab dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya ingin tegaskan bahawa kehadiran anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara bukanlah suka-suka untuk menyekat pergerakan atau menyusahkan orang ramai”.

“Sebaliknya polis melaksanakan satu misi yang sungguh suci dengan objektif untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 demi keselamatan orang ramai,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pegawai dan anggota olis yang bertugas di sekatan jalan raya amat mudah terdedah untuk dijangkiti COVID-19.

“Oleh itu, mana-mana individu yang berniat untuk berbuat demikian seperti merakam dan mengambil gambar untuk memburukkan imej polis diberi peringatan keras, ingatlah bahawa di luar sana banyak pihak yang memerhati anda untuk ditangkap”, tambah beliau.

“Sekiranya mereka keluar untuk memberi barangan tiada masalah tetapi jika sengaja keluar untuk merakam sekatan jalan raya sudah jadi satu kesalahan kerana tugas polis yang menjalankan kewajipannya bukanlah satu bahan untuk difilemkan atau ditayang”

Abdul Hamid berkata beliau telah turun padang untuk memastikan kesemua anggota mempunyai penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman ada di setiap sekatan jalan raya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here