PKP : 5 laluan sekitar PJ ditutup bermula esok

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima laluan utama di sekitar Petaling Jaya, akan ditutup berkuat kuasa bermula 12 tengah malam esok (10 April), mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata laluan itu ialah Penchala Link arah Damasara susur masuk ke Mutiara Damansara dan Damansara Perdana serta Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) susur masuk ke Mutiara Damansara dan Damansara Perdana.

Katanya, turut terlibat ialah LDP susur masuk ke Jalan PJU 8/8 Flora Damansara, susur keluar ke Jalan PJU 7/8 dan lampu isyarat Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana susur Penchala Link dan Kepong.

“Laluan alternatif keluar dari kawasan Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara adalah melalui dari Damansara Perdana ke Penchala Link menerusi Jalan PJU 7/9 Mutiara Damansara. Selain itu, dari Damansara Perdana ke Persiaran Surian melalui Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara.

“Bagaimanapun, laluan yang ditutup ini boleh dilalui ambulans, kenderaan bomba, polis dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, pihaknya akan menambah satu lagi sekatan jalan raya di Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara (kedua-dua arah), berkuat kuasa pada waktu sama.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here