KUALA LUMPUR – Sebanyak 95 notis kompaun telah diserahkan kepada individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menguatkuasakan kompaun RM1,000 kepada pesalah PKP.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran RM1,000 perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.
“Mereka yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 sebentar tadi. Menurut Ismail Sabri, kadar pematuhan arahan PKP setakat ini adalah sebanyak 97 peratus.
Berdasarkan laporan semalam, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan bahawa pengeluaran kompaun kepada pesalah PKP itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.