Menjelang enam hari lagi sebelum perintah itu berakhir, namun kebimbangan tercetus apabila statistik kes ingkar arahan itu menunjukkan peningkatan.
Malah, kebimbangan itu turut disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar harian semalam, apabila menyatakan bahawa masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan seperti, kunjung mengunjung ke rumah saudara mara dan kenderaan di jalan raya juga didapati semakin meningkat dalam tempoh PKP.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan tangkapan individu yang melanggar arahan PKP meningkat 13 peratus kepada 454 orang pada Selasa, daripada 403 orang pada hari Isnin.
Selain itu kawasan-kawasan yang dikategori zon merah COVID-19 turut meningkat kepada 23 lokasi seluruh negara, selepas daerah Sepang di Selangor dan Kota Samarahan, Sarawak mencatat kes lebih 41 pada Selasa.
Empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) iaitu Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor) dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.
Susulan peningkatan kes ingkar PKP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah lebih tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP, bermula semalam.