81 rakyat tiba dari Itali, benar pulang hari ini lepas dikuarantin 14 hari

NILAI – Seramai 75 rakyat Malaysia dan 6 rakyat Itali yang tiba dari negara Itali pada 26 Mac lepas, hari ini dibenarkan pulang selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, di sini.

Kesemua mereka dibenarkan pulang pukul 8 pagi tadi, diambil oleh ahli keluarga dan ada juga di antara mereka yang menaiki sebuah van dan kereta disediakan pihak pengurusan pusat kuarantin. 

39 daripada mereka ialah lelaki dan 42 perempuan daripada jumlah itu. Turut dibenarkan pulang ialah lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 20 kru AirAsia dan masing-masing seorang pegawai daripada Kementerian Luar dan seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Kesemua 81 individu itu dibawa pulang daripada Itali menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) menaiki pesawat khas AirAsia yang tiba di KLIA pada 10.06 pagi, 26 Mac lepas, susulan penularan wabak COVID-19 di negara berkenaan.

Namun, masih terdapat 30 individu rakyat Malaysia di pusat kuarantin AKEPT terdiri daripada 15 individu yang tiba dari Indonesia, 14 individu tiba dari Sepanyol dan seorang tiba dari United Kingdom, yang akan menamatkan proses kuarantin mereka pada 17 April ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here