COVID-19 : Wanita 23 tahun korban

PUTRAJAYA – Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 23 tahun menjadi korban termuda COVID-19 di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan kes kematian ke-67 dengan mangsa pesakit yang mempunyai penyakit Tiroid itu sudah berada di tahap kritikal iaitu peringkat keempat.

“Jadi hari ini kita ada kematian termuda, berusia 23 tahun dan memerlukan bantuan pernafasan. Namun, kena ingat pesakit itu ada penyakit Tiroid dan dia lambat mendapatkan rawatan di hospital”, katanya.

“88 peratus pesakit yang datang ke hospital adalah dalam kategori 1 dan 2. Namun, pesakit ini datang ke hospital dengan tahap keempat. Jadi dia memerlukan bantuan pernafasan, ventilator dan pesakit datang dengan penyakit lain,” katanya dalam sidang media semalam.

Dr Noor Hisham berkata, wanita itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak walaupun beliau bukan peserta persidangan gereja itu.

Wanita berkenaan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9 April, pukul 9.42 pagi.

Kes kematian COVID-19 di Malaysia kebanyakkan melibatkan warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis.

Dr Noor Hisham turut berkata hampir 60 peratus daripada mereka yang terkorban adalah mereka yang berusia 60 tahun dan atas sebab selain dengan masalah kesihata lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here