KUALA LUMPUR: Daerah Hulu Selangor menjadi kawasan zon merah COVID-19 terbaru selepas mencatatkan 43 kes positif.
Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter dan menjadikan jumlah zon merah di seluruh negara kini bertambah kepada 25.
Sebelum itu, lima daerah di negeri ini yang diisytihar zon merah ialah Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak dan Sepang.
Sehingga Jummat ini, Selangor telah mencatatkan 1,066 kes iaitu Hulu Langat sebanyak 357 kes, Petaling (310), Klang (133), Gombak (113), Sepang (49), Hulu Selangor (40), Kuala Selangor (27), Kuala Langat (24) dan Sabak Bernam (13) serta lapan kematian turut direkodkan di negeri itu setakat hari ini.
Sehubungan itu, kawasan Sungai Lui di Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 30 Mac lalu akibat kes positif COVID-19 yang tinggi.
PKPD turut dikuatkuasakan di Simpang Renggam, Johor mulai 27 Mac lalu, Menara City One, Kuala Lumpur bermula 31 Mac lalu dan Selangor Mansion serta Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 7 April lalu.