LHDNM hulur sumbangan Tabung COVID-19 NADMA

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) – Prihatin terhadap perkembangan senario semasa penularan wabak COVID-19 serta usaha-usaha yang diambil oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengekang penularan wabak tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil inisiatif memberikan sumbangan tunai berjumlah RM383,350.00 kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

Derma tunai hasil sumbangan para pegawai LHDNM dan Persatuan Kebajikan Islam LHDNM (PERKIS) ini adalah selaras dengan hasrat untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung Kerajaan dan sekaligus dapat memberikan sokongan moral kepada barisan hadapan agensi Kerajaan. Ini juga merupakan kesinambungan usaha berterusan LHDNM dalam membantu agensi-agensi Kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

Sumbangan telah diserahkan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM kepada YB Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) di Pejabat NADMA, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Majlis penyerahan sumbangan ini turut dihadiri oleh YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datin Mastura binti Tan Sri Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), YBhg. Dato’ Mohtar bin Mohd Abd Rahman, Ketua Pengarah (NADMA) dan Encik Hishamudin Mohamed, Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDNM.

Adalah diharapkan sumbangan ini dapat membantu melancarkan usaha Kerajaan dalam penyediaan keperluan prasarana serta kelengkapan kritikal yang sewajarnya terutamanya kepada petugas barisan hadapan negara yang kini bertungkus lumus menguruskan wabak COVID-19 ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here