Sabah benarkan kedai perkakasan operasi dua kali seminggu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah membenarkan kedai menjual perkakasan beroperasi dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis antara jam 9 pagi hingga 3 petang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini berkata hanya tiga kedai perkakasan dibenar beroperasi perniagaan bagi setiap daerah di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu, Penampang, Tuaran, Beaufort, Ranau, Papar, Sipitang, Tenom dan Kudat.

Safar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal menentukan kedai perkakasan rumah yang dibenarkan beroperasi di daerah masing-masing.

“PBT setiap daerah akan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi perniagaan seperti jarak sosial satu meter, mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa, tempoh masa berada di premis, penetapan satu pintu atau laluan masuk dan satu keluar”, katanya.

“Selain itu, pengimbasan suhu badan dan pemakaian topeng muka serta penggunaan cecair basmi kuman turut diwajibkan kepada pelanggan dan pekerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here