Tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berlangsung sejak sebulan lalu akan dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula 15 April hingga 28 April hadapan.

Bercakap melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui media rasmi kerajaan, Muhyiddin menegaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk memerangi sepenuhnya penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Beliau berkata, perlanjutan itu selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya tidak menamatkan PKP dengan lebih awal.

“Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan”, katanya.

PKP fasa kedua yang sedang berlangsung daripada 1 hingga 14 April ini adalah lanjutan fasa pertama yang bermula daripada 18 hingga 31 Mac lalu sebagai langkah mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberi amaran bahawa negara mungkin tidak mampu menanggung sekiranya kes Covid-19 semakin melonjak tinggi saban hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here