KPT tawar geran khas penyelidikan kritikal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menawarkan geran khas bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca COVID-19.

Penawaran geran penyelidikan bersifat jangka pendek itu terbuka untuk dibida oleh semua pensyarah universiti awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata sekurang-kurangnya RM20,000 akan diberikan bagi setiap penyelidikan yang dijalankan meliputi 20 bidang utama.

“Antara bidang kajian penyelidikan yang dikenal pasti amat berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan,” katanya.

“KPT mempunyai sumber tenaga akademik dan penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf profesor dan dalam 4,000 orang bertaraf profesor madya.

KPT berkata, setiap Kertas Cadangan Penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

“Permohonan geran penyelidikan khas ini, akan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020 dengan tempoh masa kajian selama enam bulan,” katanya

Sementara itu, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan diberi tanggungjawab menyelaras permohonan dan penilaian geran penyelidikan itu dalam menentukan kesesuaian penyelidikan untuk dilaksanakan.

“Setiap hasil penyelidikan ini, akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geran Penyelidikan KPT dan sekiranya bersesuaian akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi mengenal pasti sama ada ia sesuai untuk dilaksanakan di kementerian berkaitan,” katanya.

Makluman rasmi pembukaan geran boleh diakses melalui Malaysia Greater Research Network System (MyGRANTS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here