Pembukaan kedai gunting rambut bergantung keputusan MITI

PUTRAJAYA: Permohonan syarikat sektor kedai gunting rambut untuk beroperasi semula secara berperingkat, akan bergantung kepada kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bukan semua permohonan itu yang akan mendapat kelulusan beroperasi semula, maka pihaknya akan meneliti setiap pandangan yang disuarakan dan pelaksanaannya bukanlah dengan serta merta.

“Proses permohonan yang dilakukan oleh MITI tidak semestinya semua permohonan itu akan diterima dan hanya boleh beroperasi di kawasan zon hijau saja, bukan di kawasan merah dan sebagainya”, tambah beliau.

“Bagaimanapun, perincian berkenaan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan oleh MITI. Setakat hari ini, kerajaan menerima pandangan daripada rakyat dan MITI akan meneliti dan memperhalusi setiap pandangan rakyat”, katanya.

Ismail Sabri berkata demikian, apabila ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik kebenaran untuk operasi kedai gunting rambut dibenarkan berikutan reaksi orang ramai termasuk pengusaha yang menolak untuk beroperasi berikutan sukar untuk melakukan penjarakan sosial.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu perutusan khas, menyatakan beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk beroperasi semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa ketiga pada 15 April ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here