PKP : Pensyarah cadang kaedah hantar pulang pelajar universiti ke kampung

KUALA NERUS – Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencadangkan kerajaan agar mewujudkan kerjasama pintar antara universiti untuk hantar pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Dr Mohd Uzair Rusli berkata penghantaran pelajar perlu menggunakan bas universiti dan bukannya pengangkutan awam bagi tujuan keselamatan dan mengelak daripada sebarang risiko dijangkiti.

“UMT akan menghantar pulang pelajar ke Johor dan bas yang sama juga digunakan untuk mengangkut anak-anak Terengganu yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk pulang ke sini”, katanya.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar yang berada di kampus ke rumah masing-masing susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati KPT supaya bersabar dalam tempoh PKP ini bagi membenarkan pelajar IPT pulang ke kampung masing-masing.

 Bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan, Mohd Uzair turut mencadangkan supaya setiap pelajar perlu dibekalkan dengan makanan supaya mereka tidak perlu singgah lebih lama di mana-mana Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Perkongsian bijak sesama universiti akan menjimatkan wang dan mengelak risiko jangkitan COVID-19. Pelajar juga akan lebih selesa dalam menyambung sesi pembelajaran secara talian di kampung bersama keluarga masing-masing,” jelasnya lagi.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here