Sektor tambahan yang beroperasi semula boleh buat permohonan esok

PUTRAJAYA: Pemilik dan pengurusan syarikat dalam sektor tambahan yang boleh beroperasi semula secara berperingkat-peringkat boleh membuat permohonan bermula jam 9 pagi esok.

Menerusi laman sosial Facebook, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, memaklumkan bahawa, permohonan itu adalah secara digital sepenuhnya dan perlu dibuat pada laman sesawang kementerian di www.miti.gov.my.

Pemilik dan pengurusan syarikat tidak perlu memuat naik sebarang dokumen, namun mereka disarankan untuk menyediakan maklumat berkaitan syarikat terlebih dahulu, terutamanya maklumat pekerja. Maklumat berkenaan termasuklah pendaftaran syarikat termasuk nombor Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), nombor lesen keutamaan dan nombor lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); alamat surat menyurat dan operasi syarikat; anggaran pendapatan syarikat untuk 2017, 2018 dan 2019.
Mereka juga perlu menyatakan bilangan pekerja tetap syarikat, maklumat setiap pekerja termasuk nama, kad pengenalan, nombor telefon atau maklumat pengenalan lain serta sifat atau skop kerja di syarikat masing-masing.
Pemilik dan pengurusan syarikat juga diingatkan untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh beroperasi semula.
Katanya, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan, dari semasa ke semasa.

Sektor yang tersenarai adalah industri automotif, industri mesin dan peralatan,industri aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan berkaitan minyak dan gas, serta makmal ujian bagi sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.

Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar perkhidmatan kedai perkakasan, kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan, perkhidmatan gunting rambut asas  dan perkhidmatan dobi bukan layan diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here