COVID-19: Plentong, Ulu Benut kini zon merah, Johor

JOHOR BAHRU: Plentong dan Ulu Benut, Kluang diisytiharkan sebagai zon merah penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata kedua-dua zon berkenaan diletakkan sebagai zon merah apabila mencatatkan jangkitan wabak COVID-19 melebihi 40 kes.

“Sebanyak empat mukim diletakkan dalam zon jingga iaitu Pulai dan Tebrau, di sini serta Sri Gading dan Simpang Kanan di Batu Pahat berikutan mempunyai kes jangkitan wabak COVID-19 antara 20 hingga 40 kes”, katanya.

“Sebanyak 49 mukim di negeri ini berada dalam zon kuning membabitkan antara satu hingga 20 kes jangkitan wabak COVID-19 manakala 37 mukim lagi masih kekal zon hijau dengan rekod tiada kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan turut berkata, seramai 145 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditugaskan untuk mengawal perairan di seluruh Johor bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Manakala bagi bot nelayan kelas A dan B, kerajaan tidak menghalang mereka meneruskan aktiviti penangkapan ikan sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

“Pematuhan PKP di negeri ini merekodkan 96.95 peratus semalam berbanding 96.74 peratus Jumaat lalu,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here