PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN menerusi persidangan video, esok untuk membincangkan usaha dan persediaan untuk menangani COVID-19 di rantau ini.
Sidang Kemuncak Khas itu akan disertai oleh Ketua Negara atau Ketua Kerajaan ASEAN dan dipengerusikan Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Sidang Kemuncak Khas ini akan membincangkan mengenai usaha dan persediaan bersama ASEAN dalam menangani penularan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada ribuan warga ASEAN.
“Perdana Menteri Malaysia dijangka mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga Mengenai COVID-19 yang disiarkan menerusi persidangan video.
“Sidang Kemuncak Khas tersebut akan turut dihadiri oleh Ketua-ketua Negara/Kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dan Negara Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
“Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi, Setiausaha Agung ASEAN dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus akan turut mengambil bahagian dalam persidangan video tersebut,” menurut kementerian lagi.
Wakil negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga akan bertukar-tukar pandangan dan meneroka bidang kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19.
Sidang Kemuncak Khas itu juga akan mengeluarkan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai COVID-19.