PKP : Kedai gunting rambut, bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan kerajaan tidak akan membenarkan kedai gunting rambut, salon kecantikan, kedai cermin mata untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

Pengumuman itu dibuat susulan kebenaran terdahulu oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menyenaraikan perkhidmatan itu sebagai salah satu industri yang dibenarkan beroperasi jika mendapat kelulusan.

Beliau berkata kerajaan juga memutuskan semua bentuk bazar Ramadan turut tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Pengumuman yang dibuat dalam sidang media harian itu sekaligus meredakan kebimbangan ramai sebelum ini yang khuatir penularan wabak COVID-19 akan bertambah teruk sekiranya kedai-kedai gunting ini dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan telah mendengar pandangan rakyat, kerajaan juga mendapat nasihat daripada pakar-pakar tertentu dan badan bukan kerajaan mengenai perkara seperti ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here