84 kompaun sudah dikeluarkan berjumlah RM21,000, arah tutup kedai

KUANTAN: Sebanyak 84 kompaun berjumlah RM21,000 dikeluarkan terhadap peniaga termasuk pemilik restoran atas pelbagai kesalahan sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melakukan pemeriksaan di 7,033 premis perniagaan sebelum mengeluarkan kompuan RM250 untuk setiap kes.

Katanya, sepanjang tempoh PKP itu, pihaknya turut menyita barangan di empat premis perniagaan termasuk sebuah restoran diarah tutup dan lesen premis perniagaan ditarik balik.

“Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan berikutan kegagalan pemilik premis perniagaan mematuhi arahan PKP iaitu mengikut Seksyen 101 (v)Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171)”,katanya.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki lesen perniagaan, menjalankan perniagaan di kaki lima dan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” tambah beliau.

Norkamawati berkata, sepanjang tempoh PKP, semua restoran yang dibenarkan beroperasi adalah tertakluk kepada tempoh yang dibenarkan iaitu operasi secara pembelian bawa pulang.

“Pemilik premis perniagaan juga perlu memastikan pelanggan tidak berkumpul di dalam premis kerana semua pemilik premis perniagaan termasuk restoran diberi notis pemakluman mengenai prosedur operasi standard (SOP). Namun, ketidakpatuhan arahan masih dilakukan oleh peniaga walaupun amaran telah diberikan berulang-ulang kali”, katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here