KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan menyambung semula operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak sekali seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri dan Kota Kinabalu, bermula minggu ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Malaysia Airlines akan memastikan penerbangan itu dihubungkan oleh MASWings bagi laluan Miri-Bintulu, Kuhcing-Sibu-Kuching dan Sibu-Bintulu.
Perkhidmatan kargo Malaysia Airlines telah membawa makanan dan keperluan perubatan ke Sarawak sebelum ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, Kementerian Pengangkutan sebelum ini, tidak pernah mengarahkan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia atau Malindo untuk menghentikan operasi penerbangan ke Sarawak dan Sabah.
“Jika ada permintaan dan penambahan penumpang, MAS bersedia untuk menambah frekuensi penerbangan mereka. Mereka akan menambah lebih banyak penerbangan ke Kuching, Miri atau Kota Kinabalu, mulai minggu depan, jika permintaan meningkat dan Sarawak akan terus dihubungkan dengan Semenanjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia Airlines telah memberhentikan penerbangan ke Sabah dan Sarawak kerana menghadapi kerugian yang akan memberi implikasi lebih buruk jika diteruskan dan
mencatatkan penurunan jumlah penumpang antara 10 hingga 15 peratus, susulan penularan COVID-19.