BUKIT BERUNTUNG: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melancarkan operasi sanitasi awam nyah cemar kuman fasa kedua bagi mengekang wabak COVID-19 di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, bermula semalam.
Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin, berkata operasi bersepadu itu dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dari Balai Bomba Bukit Sentosa bermula 9 pagi hingga 2 petang selama tiga hari.
Katanya, seramai 90 anggota terlibat dalam operasi. Sanitasi awam kali ini dilakukan di 15 blok perumahan penduduk di Taman Bunga Raya dan Bukit Sentosa sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 di Hulu Selangor yang memasuki zon merah ini.
”Antara perumahan yang terbabit di Taman Bunga Raya adalah Pangsapuri Cempaka dan Kenanga yang sudah mempunyai kes positif wabak itu. Operasi ini dilakukan secara berperingkat-peringkat hingga selesai,” katanya.
Katanya, penduduk juga perlu berada dalam rumah dan premis masing-masing ketika operasi semburan nyah kuman ini diadakan di kawasan mereka.
”Kerja semburan itu hanya dilakukan di bahagian luar rumah membabitkan tangga, tingkap, pemegang besi tangga, laluan hadapan rumah setinggi dua meter dan dinding rumah.