PKP fasa ketiga akan bermula esok

KUALA LUMPUR : Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir hari ini dan diteruskan dengan fasa ketiga bermula esok sehingga 28 April. 

Pelanjutan PKP ini masih mempunyai tujuan yang sama sejak 18 Mac iaitu memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan pelanjutan PKP untuk fasa ketiga pada Jumaat lepas, beliau mengajak rakyat agar terus bersama-sama, memerangi penularan COVID-19 kerana wabak itu masih belum berakhir sepenuhnya.

Beberapa sektor ekonomi terpilih turut akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.
Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan akan mengambil masa lima hari bagi memproses permohonan operasi syarikat sepanjang tempoh PKP.
Sekiranya permohonan itu berjaya, surat kelulusan akan dikeluarkan oleh COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 2.0 melalui pautan laman sesawang https://application.miti.gov.my.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan jumlah individu yang dikenakan tindakan apabila ingkar PKP, selain jumlah sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan oleh Polis Diraja Malaysia bersama Angkatan Tentera Malaysia, terus meningkat.

Laporan media semalam, menyatakan sebanyak 1,471 individu ditahan, dengan 949 dikenakan kompaun, 503 individu direman dan 19 individu dijamin polis, manakala 51 individu dituduh di mahkamah.

Setakat ini, situasi COVID-19 di Malaysia menunjukkan, perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj adalah seramai 168 orang di mana mempunyai angka melebihi jumlah kes positif baharu.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here