PKP : Sabah lanjutkan penangguhan solat berjemaah di masjid hingga 28 April

KOTA KINABALU – Sabah melanjutkan arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di setiap masjid di seluruh negeri Sabah sehingga 28 April susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata hal ini telah mengambil kira asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam.

“Keputusan ini akan melibatkan penangguhan solat Jumaat pada 17 dan 24 April. Ahli Qaryah wajib solat fardu Zuhur pada hari Jumaat itu dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh itu.

“Umat Islam di Sabah dikehendaki merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu “Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya“, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bungsu mengingatkan umat Islam Sabah supaya terus mengambil langkah keselamatan mengikut saranan dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menunaikan solat sunat Tarawih di rumah masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here