KUCHING: Polis kini memberi tumpuan di pasar basah bagi memastikan hanya seorang wakil daripada keluarga membeli barang keperluan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata tindakan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga, esok.
Dev berkata, hanya seorang dibenarkan berada dalam kereta atau motosikal, tetapi orang ramai masih boleh pergi ke pasar untuk membeli barang keperluan.
“Jika lebih daripada seorang tanpa alasan yang munasabah, polis akan mengeluarkan notis kompaun RM1,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tindakan tegas itu dapat dilihat pada jumlah kompaun yang dikeluarkan serta tangkapan dalam tempoh 24 jam antara jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi hari ini yang meningkat iaitu seramai 137 orang dikompaun, manakala 21 orang ditangkap di seluruh Sarawak.
Katanya, tahap pematuhan PKP yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian COVID-19 di Sarawak adalah tinggi iaitu 97 peratus, namun masih ada segelintir masyarakat yang degil dan bersifat tidak mendengar arahan yang diberikan oleh pegawai.