Skim Harga Maksimum hanya dilakukan terhadap barang permintaan tinggi

KUALA LUMPUR : Tidak semua 25 barangan yang diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum (SHM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghadapi masalah permintaan melebihi bekalan sehingga menyebabkan harganya naik mendadak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pemantauan di bawah skim itu hanya dilakukan terhadap barangan tertentu yang mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata, permintaan ayam di pasar berkurang, dan pembekal boleh memasarkan ayam mereka yang kebiasaannya mula dijual selepas tempoh 30 hari.

“Sekarang tidak ada permintaan seperti biasa dan ini bukan tekanan untuk naikkan harga kepada permintaan yang rendah,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasa SHM sepanjang tempoh PKP bagi mengelak kenaikan harga terhadap 25 barangan yang diletakkan dibawah skim itu.

Selain ayam, barangan lain yang diletakkan di bawah SHM termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, biskut, sardin, mi segera, makanan sejuk beku dan sayur-sayuran. Barang lain adalah disenaraikan seperti telur, bawang, susu segar, air mineral, milo, kopi, teh, tisu basah, tisu tandas, lampin bayi, lampin dewasa serta panadol.

Beliau berkata, pelaksanaan Skim Harga Maksimum di musim PKP sangat berbeza berbanding skim sama pada musim perayaan yang akan menyaksikan permintaan barangan basah seperti ayam, daging dan sayur-sayuran naik mendadak.

Namun, katanya KPDHNEP akan meneruskan pelaksanaannya demi menjamin harga yang berpatutan yang dijual kepada pengguna, di samping langkah awal mengawal perilaku peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja menaikkan harga barang.

Sepanjang tempoh PKP ini, pengguna dan orang ramai boleh terus memaklumkan kepada penguatkuasa KPDNHEP menerusi WhatsApp 019-2794317 jika mengesan mana-mana peniaga sengaja menaikkan harga barang.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here