KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa sebanyak AS$300 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Katanya, dengan pemulangan AS$300 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang sudah dipulangkan kepada kerajaan membabitkan nilai AS$620 juta.
Beliau berkata, pada 30 Oktober 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low, mencapai penyelesaian dengan DoJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang difailkan oleh jabatan itu terhadap aset yang dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.
Perdana Menteri berkata proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah US$300 juta ini.
“Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan AS, DoJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang,” katanya.