E-kraf Bazar, inisiatif pemasaran atas talian bantu usahawan

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan inisiatif pemasaran e-kraf bazar di Facebook melalui Kraftangan Malaysia bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka ketika negara berdepan penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata inisiatif itu bermula 8 April lalu dengan memasarkan produk kraf daripada usahawan tekstil, hasil rimba, seramik, logam dan aneka kraf.

“Platform ini turut memudahkan pengguna mendapatkan barang keperluan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta keperluan untuk persiapan menjelang sambutan Aidilfitri, Tadau Kaamatan dan Gawai Dayak”, katanya.

“Setakat ini, lebih 3,000 penyertaan diterima dan dijangka lebih 700 usahawan kraf dengan bilangan pengikut 2.3 juta bakal menyertai e-kraf bazar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Usahawan boleh menggunakan teknologi digital terkini iaitu telefon pintar bagi mempromosikan perniagaan dalam talian secara lebih meluas.

“MOTAC menyeru lebih ramai usahawan kraf menyertai platform ini dan secara langsung dapat menyemarakkan lagi industri pelancongan, seni dan budaya di masa hadapan,” ulas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here