KOTA BHARU: Golongan profesional perubatan bersama pelajar universiti berganding bahu menyiapkan lebih 10,000 pelindung muka dan 500 pakaian perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.
Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din, berkata seramai 21 sukarelawan termasuk pekerja bidang kesihatan yang juga ahli PAPISMA turut terbabit, selain graduan perubatan dari Universiti al-Azhar dan Universiti Mansoura di Mesir serta lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Awalnya, kami menghasilkan lebih hand sanitizer memandangkan ahli dalam kalangan saintis dan pensyarah bidang perubatan berpengalaman mencipta cecair pembasmi kuman mengikut kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)”, katanya.
Pihak PAPISMA juga pernah mengedarkan lebih 2,000 topeng muka, 584 penutup kepala 736 penutup kasut dan 18,237 sumbangan makanan hasil bantuan orang ramai kepada petugas memerlukan.
Dr Tengku Ahmad Damitri berkata, mereka kemudian menghasilkan PPE dengan bantuan tukang jahit luar di sekitar ibu negeri ini yang diagihkan selepas ahli PAPISMA membuat tempahan dan menyediakan kain bersesuaian.
“Permintaan PPE sangat tinggi hingga kami perlu mengagihkan dengan jumlah terhad bukan sahaja ke seluruh klinik dan hospital di Kelantan, bahkan beberapa negeri seperti Selangor, Terengganu serta Johor”, tambah beliau.
“Kami berharap sumbangan terus diberikan agar PAPISMA dapat menghasilkan lebih banyak peralatan keselamatan kepada semua petugas barisan hadapan secara berterusan”.