Pelan pemulihan ekonomi dicadang tangani impak Covid-19, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR – ASEAN perlu bekerjasama rapat dengan rakan pakatan Campur Tiganya bagi memastikan Asia Pasifik pulih daripada impak ekonomi pandemik COVID-19 bersama-sama, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Malaysia mencadangkan ASEAN merangka satu pelan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 yang menumpukan bukan hanya kepada aspek kewangan tetapi juga jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan menerusi persidangan video hari ini.

Para pemimpin daripada blok 10 negara itu dan tiga rakan pakatan ASEAN iaitu China, Korea Selatan dan Jepun hari ini membincangkan langkah-langkah dan inisiatif bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha memerangi pandemik tersebut.

“Pandemik COVID-19 adalah gabungan krisis kesihatan dan ekonomi. Laporan baru-baru ini menunjukkan negara-negara yang dilanda wabak itu telah menurunkan unjuran pertumbuhan mereka bagi 2020 berikutan pertumbuhan perlahan dalam dagangan, pembuatan dan perdagangan,” kata Muhyiddin.

 “Kita juga mesti menggunakan Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) bagi memastikan rakyat tidak terjejas oleh kekurangan makanan dalam tempoh terdekat ini.

Misalnya, ASEAN boleh belajar bagaimana negara Jepun berjaya melaksanakan pakej rangsangan terbesar di Asia Pasifik dan penyelesaian Korea Selatan bagi ujian secara besar-besaran akan sangat berguna untuk dipelajari dan dilaksanakan oleh ASEAN, kata Muhyiddin.

“Malaysia melihat ini sebagai kaedah terbaik bagi rakan pakatan Campur Tiga kita untuk membantu kita sebagai blok serantau bagi memastikan ekonomi kita dipulihkan semula dan kebajikan kira-kira 600 juta rakyat kita terjaga. 

“Buat masa ini, Malaysia berpandangan bahawa kita perlu terus komited untuk terus membukakan pasaran kita, mengekalkan aliran perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan yang normal untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi serantau kita.

Baru-baru ini, Malaysia mengumumkan tiga pakej rangsangan ekonomi termasuk langkah-langkah tambahan untuk membantu Perusahan Kecil dan Sederhana Mikro bernilai RM260 billon (US$64.6 bilion), yang merupakan 18.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here