PKP fasa ketiga : Tiada lagi kompaun, terus ke mahkamah

PUTRAJAYA – Dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sesiapa yang masih ingkar PKP akan terus ditahan untuk dikenakan tindakan mahkamah dan tumpuan pada fasa ini tidak lagi pada kompaun seperti yang dilakukan pada fasa pertama dan kedua PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan berdasarkan Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan kesalahan seterusnya penjara lima tahun.

“Hal ini disebabkan, ramai dilihat tidak takut, semakin hari semakin meningkat jumlah yang dikompaun,” katanya pada sidang akhbar harian PKP hari ini.

Beliau berkata jumlah kumulatif yang ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 9,090 dan keseluruhan kompaun dikeluarkan berjumlah 4,036.

Ismail Sabri berkata seramai 1,374 orang ditahan kerana ingkar PKP dan daripada jumlah itu seramai 931 orang dikenakan kompaun RM1,000 manakala 418 individu direman dan 25 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa jika mereka dihadapkan ke mahkamah, mereka akan direman dan akan berada dalam penjara untuk sehari dua.

Ismail Sabri turut berkata sedang berlaku peningkatan kenderaan di jalan raya dan ramai yang masih keluar rumah terutama di luar bandar yang tidak menggunakan perkhidmatan dalam talian semalam.

Ismail Sabri berkata secara keseluruhan sebanyak 1,701 sanitasi telah dilakukan di 97 zon termasuk di 26 zon merah sejak 30 Mac lalu, antaranya 1,203 bangunan kerajaan, 701 tempat awam, 736 pusat perniagaan dan 139 pasar raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here