TAIPING – Sebuah badan bukan kerajaan dengan kerjasama agensi kerajaan mengambil inisiatif membuka Pusat Penempatan Sementara untuk golongan gelandangan tujuannya berada di dalam dan bukan berkeliaran di tempat luar.
Pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Kampung Pinang, Taman Kamunting Permai di sini yang mula beroperasi petang semalam dibuka dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan, Jabatan Kesihatan dan polis.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) Taiping, Faizzul Amri Shahabuddin berkata sebanyak 20 unit kubikel disediakan APM di dalam dewan itu untuk gelandangan di sekitar daerah berkenaan setakat ini.
“Selain tempat perlindungan, para gelandangan yang dibawa ke sini juga diberi keperluan asas seperti pakaian, tuala, selimut, bekalan elektrik dan bilik air yang bersih dan diberi makan sebanyak tiga kali sehari hasil sumbangan daripada ahli KMM dan orang ramai.
“Kita mahu mereka tinggal di sini kerana kebersihan diri akan terjaga sekaligus mengelakkan mereka bergerak ke sana ke sini ketika Perintah Kawalan Pergerakan,”katanya.
Semua gelandangan yang dibawa ke pusat itu juga akan menjalani saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.
Orang ramai yang ingin memberi wang sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 558051349924 atas nama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen dengan menulis rujukan ‘PKP’.
Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kerajaan negeri akan menyediakan tempat perlindungan dan bantuan makanan untuk gelandangan di negeri ini selewat-lewatnya minggu ini, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.