PKP : Tambah sekatan jalan raya, polis wujud rondaan ‘Aberdeen’

PETALING JAYA: Dalam melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), polis Selangor wujud Sistem Rondaan ‘Aberdeen’ Kereta Peronda Polis (MPV) dan ini adalah inisiatif terbaharu bagi menambah baik sekatan jalan raya dan pasukan rondaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamad, berkata sistem rondaan ‘Aberdeen’ ini, sepasukan empat anggota terdiri daripada tiga anggota polis dan seorang anggota tentera dengan sebuah MPV akan digerakkan ke lokasi sasaran antaranya kawasan perumahan dan perniagaan.

“Pemandu MPV akan menurunkan dua anggota polis dan seorang tentera ke lokasi terbabit untuk melakukan rondaan secara berjalan kaki”, katanya.

“Selepas sejam, pemandu MPV akan mengambil semula tiga anggota berkenaan untuk membuat rondaan di lokasi lain pula untuk tempoh masa sama,” katanya kepada media hari ini.

Tambahnya, buat masa ini sistem rondaan berkenaan hanya dilaksanakan di Petaling Jaya namun akan diperkembangkan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) lain seluruh Selangor.

“Menerusi sistem rondaan ini kita mahu menampakkan kehadiran anggota polis dan tentera di lokasi sasaran dan berharap penguatkuasaan PKP dapat dibuat dengan lebih cekap”, jelas beliau.

“Sistem ini adalah sebagai isyarat tambahan kepada masyarakat untuk mereka mematuhi PKP dalam usaha memerangi COVID-19,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata sebanyak lapan pasukan MPV dengan 24 anggota polis dan tentera terbabit dalam tugasan rondaan ‘Aberdeen’ buat masa ini.

“Rondaan itu bermula pada jam 8 pagi hingga jam 2 petang dan dari jam 2 petang hingga jam 8 malam setiap hari,” katanya.

Menurutnya, kadar pematuhan PKP di Petaling Jaya dikesan menurun ke 85 peratus sejak Isnin lalu berbanding 90 peratus sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here