Kuala Lumpur: Tujuh wilayah dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam utama di kawasan itu.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Halem Mat Som, berkata bekalan air dijangka pulih mulai hari ini pada jam 12 tengah hari secara berperingkat ke seluruh kawasan terbabit.
Mengulas lanjut beliau berkata, gangguan itu berikutan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Loji Rantau Panjang terjejas berikutan terpaksa dihenti tugas pada jam 11 malam tadi.
“Tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya mempercepatkan aliran keluar air yang tercemar ke hilir Sungai Selangor dan tiada lagi dikesan pencemaran bau pada muka sauk empat LRA itu, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang, www.airselangor.com. Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat dalam tempoh ini.