PUTRAJAYA: Fasa keempat aktiviti pelepasan kargo akan bermula pada 20 hingga 23 April ini bagi memastikan aktiviti di pelabuhan utama negara lancar dan ruang kapasiti berada dalam keadaan sewajarnya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Langkah itu juga bertujuan memastikan pembekalan barangan keperluan kepada rakyat tidak terbantut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April 2020.
“Kementerian Pengangkutan sentiasa komited memantau pergerakan di pelabuhan utama negara dan membuat keputusan berhubung pelepasan kargo mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan dilaksanakan mengikut fasa bermula 27 hingga 29 Mac (fasa pertama), 4 hingga 7 April (fasa kedua) dan 13 hingga 15 April (fasa ketiga), katanya.
Prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sebelum ini untuk rujukan pengendali pelabuhan di Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Padang Besar, turut dikongsi kepada pelabuhan yang dimiliki oleh kerajaan negeri untuk manfaat bersama.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh e-mel ke aduan@mot.gov.my atau WhatsApp ke 019-2907723 atau layari laman web khusus (microsite) di pautan http://cccovid19.mot.gov.my/.