
KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota narkotik ditugaskan (SJR) di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengesan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di lebih 800 sekatan jalan raya
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata sebanyak 329 kes berkaitan dadah berlaku di SJR seluruh negara membabitkan 404 tangkapan dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM345,036 sejak 18 Mac lalu, PKP dikuatkuasakan.
“Apabila kerajaan melaksanakan PKP, modus operandi pengedaran dadah dilihat berubah dan mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengedar dadah termasuk menggunakan khidmat penghantar makanan dan barangan”, katanya.
“50 peratus mereka yang ditangkap kerana dadah di SJR adalah mereka yang menaiki motosikal di mana lapan kes membabitkan pekerja penghantar makanan dan barangan.
“Selain itu, sebanyak 41 peratus yang ditangkap membabitkan mereka yang memandu kereta persendirian dan sembilan peratus lagi yang menggunakan lain-lain kenderaan seperti van, lori dan teksi,” katanya dalam sidang media hari ini.
“Walaupun banyak SJR dijalankan, namun aktiviti dadah tetap berlaku dalam tempoh PKP justeru kita letakkan pegawai dan anggota narkotik di SJR untuk membuat pengesanan.
“Mereka mempunyai kepakaran untuk mengetahui di mana dadah disorok dan membaca tingkah laku serta riak muka mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah atau membawa dadah,” jelasnya.
Menurutnya, seramai 151 orang ditahan di bawah kesalahan Peraturan11(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.