KUALA LUMPUR: Kulai diisytiharkan lokasi terbaharu zon merah menjadikan keseluruhan 29 kawasan berada dalam zon berkenaan, semalam.
Berdasarkan infografik dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi media sosial rasminya, Kulai menjadi daerah kelima direkodkan di negeri Johor berada dalam zon merah selepas mencatatkan 41 kes positif COVID-19.
Empat daerah lain di Johor adalah Kluang (221), Johor Bahru (187), Batu Pahat (52) dan Muar (47).
Infografik itu juga memaparkan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada dalam zon merah dengan keseluruhan 971 kes, didahului Lembah Pantai dengan 604 kes, manakala Putrajaya kekal 55 kes.
Perak pula mencatatkan 252 kes positif dengan dua daerahnya dikategorikan zon merah, iaitu Hilir Perak (65) dan Kinta (94).
Negeri Sembilan turut mencatatkan peningkatan kes COVID-19 berbanding kelmarin apabila merekodkan sebanyak 402 kes dengan Rembau dan Seremban kekal dalam zon merah.
Daerah lain dalam kategori zon merah adalah Jerantut dan Kuantan di Pahang; Kota Bharu, Kelantan; Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak, manakala di Sabah membabitkan Kota Kinabalu dan Tawau.