KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mempertingkatkan pemantauan harga barang keperluan terutama ayam, daging, telur dan ikan selain sayur yang menjadi tumpuan pengguna.
Sehubungan itu, seramai 217 pegawai penguat kuasa melakukan pemantauan harga barang keperluan setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Ahmad Fitri Ali, berkata pemantauan itu membabitkan pemeriksaan di 43 pasar awam di seluruh Pahang, diikuti 98 pasar raya, 1,357 kedai runcit dan 178 kedai serbaneka.
Katanya, kementerian itu juga turut melakukan pemeriksaan di 209 farmasi untuk memastikan pengguna mendapat bekalan perubatan dan membayar pada harga yang berpatutan.
Sementara itu, Ahmad Fitri berkata, seramai 10 peniaga di Pahang dikompaun RM100 setiap individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu hingga kelmarin.
“Kesalahan itu dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 manakala kesalahan alat penimbang tamat tempoh pula mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.
“Sepanjang tempoh PKP, kami menerima 127 aduan daripada pengguna antaranya membabitkan harga, barang tiruan, perkhidmatan mengelirukan dan bengkel kenderaan bermotor.