Mahkamah terus beroperasi ketika wabak Covid-19

Ketua hakim negara

PUTRAJAYA – Mahkamah akan terus beroperasi tetapi dalam ruang lingkup yang lebih terhad untuk memastikan akses berterusan kepada sistem keadilan,” kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata badan Kehakiman menegaskan demi menjaga keamanan dan undang-undang, mahkamah masih mendengar prosiding reman, pendakwaan kes baharu, permohonan kes jenayah, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.

Tengku Maimun berkata keutamaan adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 berkaitan fungsi pengadilan untuk memberi sokongan yang diperlukan kepada penjara dan polis, yang kedua-duanya disenaraikan sebagai perkhidmatan penting di bawah peraturan itu.

Beliau berkata dalam tempoh pelaksanaan PKP terutama berkaitan hal-hal jenayah, mahkamah masih boleh mendengar permohonan reman, pendakwaan kes baharu, permohonan kes jenayah, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.

Sebagai tambahan, Tengku Maimun berkata, permohonan reman juga dijalankan di balai polis. Mahkamah masih menjalankan pengurusan kes melalui e-Review, e-mel dan mendengar pendengaran kes secara dalam talian.

“Mekanisme e-Filing yang beroperasi sejak hampir sedekad yang membolehkan pemfailan dokumen dan dokumen kausa secara dalam talian masih beroperasi bagi kes sivil dan jenayah, di mana dokumen difailkan adalah diproses seperti biasa.

“Hakim dan pegawai kehakiman bertugas dari rumah dan boleh dihubungi sepanjang masa bagi memastikan semua kes yang memerlukan perhatian mendesak ditangani segera,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa mahkamah dilengkapi dengan peralatan pendengaran dalam talian terkini dan badan kehakiman itu bersedia menjalankan dan sebenarnya sudahpun menjalankan pendengaran dalam talian bagi kes sivil dengan persetujuan pihak-pihak terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here