PUTRAJAYA – Perkhidmatan pemasangan dan penyediaan Internet di kawasan kediaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata sebelum pemasangan dilakukan di rumah pelanggan, syarikat penyediaan perkhidmatan itu perlu memaklumkan kepada polis sewaktu melalui sekatan jalan raya.
“Keperluan Internet dan sebagainya merupakan keperluan asas hari ini. Ia juga sama dengan elektrik yang tiba-tiba putus. Kita selama ini membenarkan perkara ini beroperasi.
Ditanya mengenai kemungkinan ada majikan yang memaksa pekerjanya kembali bekerja sewaktu PKP, Ismail Sabri, berkata tindakan mungkin boleh diambil terhadap majikan tersebut bergantung kepada undang-undang yang bersesuaian.
“Majikan ini yang sebenarnya langgar PKP kerana paksa pekerja pulang bekerja walaupun dia tahu perjalanan merentasi sempadan ini tidak dibenarkan.
Mengulas mengenai status kuarantin melibatkan pekerja di luar pesisir pantai, Ismail Sabri berkata kumpulan tersebut juga perlu dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang telah ditetapkan dan yang berdekatan.