PKP : Rentas negeri guna pesawat hanya bagi urusan kecemasan

KUALA LUMPUR: Pergerakan rentas negeri menggunakan penerbangan domestik hanya dibenarkan untuk urusan kecemasan seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka yang ingin melakukan perjalanan sama ada melalui pengangkutan darat dan udara semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mendapatkan surat kebenaran dari balai polis berdekatan.

“Prosedur operasi standard (SOP) antara negeri menggunakan darat, laut atau udara adalah sama, iaitu dalam kes kecemasan sahaja dibenarkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika ini penerbangan domestik masih dibenarkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, manakala tiada penerbangan ke mana-mana destinasi di Semenanjung keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Namun, penerbangan domestik (Semenanjung) masih dibenarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang melalui perkhidmatan Firefly. Semalam seramai 479 penumpang menggunakan lapangan terbang berkenaan.

“Dasar Kerajaan berhubung pergerakan antara negeri (interstate travel) masih kekal sama, pergerakan antara negeri tidak dibenarkan kecuali mendapat surat kebenaran dari pihak PDRM,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan syarikat penerbangan yang sudah mula membuat iklan penjualan tiket penerbangan selepas hari terakhir PKP yang dijadualkan tamat pada 28 April ini, Ismail Sabri berkata, pihaknya berharap mana-mana syarikat penerbangan untuk beoperasi hanya apabila dibenarkan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here