KUALA LUMPUR : Orang ramai perlu memainkan peranan dengan ‘strategi’ mereka sendiri apabila barisan hadapan negara juga memikirkan pelbagai kaedah sebagai ‘strategi keluar’ untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menular ancaman wabak Covid-19 ini.
Pengurangan kes kebolehjangkitan ini dilihat paling penting supaya tugas pengawalan akan menjadi lebih baik, tegas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.
Katanya, pengurangan kes yang masih dirawat menjadi indikator kepada strategi keluar dalam menasihatkan Majlis Keselamatan Negara untuk menamatkan PKP.
Semalam, kes kebolehjangkitan hanya berbaki 2,198 dengan kes positif baharu hanya 69, dan menjadi harapan Dr Noor Hisham sebagai ‘jeneral perang’ wabak berkenaan supaya kes kebolehjangkitan ini terus kekal berkurangan.
Bagaimanapun, kerja keras dan strategi barisan hadapan ini akan menjadi sia-sia sekiranya masih ramai bersikap sambil lewa malah ‘menipu’ hanya untuk keluar dari rumah dan melepasi sekatan jalan raya.
Jadi, orang ramai turut meletakkan strategi keluar masing-masing dengan mengurangkan kekerapan keluar dari rumah hanya dalam tempoh PKP ini.