Hanya 20 peratus rakyat Malaysia daftar dengan Kedutaan di AS

KUALA LUMPUR – Hampir 26,000 rakyat Malaysia di Amerika Syarikat termasuk 1,200 pelajar, sudah mendaftar dengan Kedutaan Malaysia namun, jumlah itu masih rendah daripada angka sebenar mengikut statistik kerajaan AS, kata duta Malaysia ke AS Datuk Azmil Mohd Zabidi.

“Hanya 20 peratus penuntut mendaftar. Hal ini disebabkan kedutaan tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai jumlah rakyat Malaysia di AS.

“Kami berharap rakyat Malaysia yang belum mendaftar mesti mendaftar dengan kedutaan, jadi senang untuk kita menyalurkan berita penting atau maklumat terkini,” katanya dalam wawancara melalui Skype dari Washington DC.

Sementara itu, rakyat Malaysia di AS yang mahu pulang ke Malaysia masih boleh berbuat demikian dengan menggunakan penerbangan komersial, kata Azmil.

Pada awal Mac, kedutaan mengeluarkan nasihat, mereka yang tidak mempunyai cukup sumber kewangan atau perlindungan insurans yang komprehensif perlu pulang ke Malaysia secepat mungkin.

“Syukur, kebanyakan rakyat Malaysia ikut nasihat itu dan selamat kembali ke Malaysia,” katanya.

Kedutaan, melalui Education Malaysia dan kerjasama Majlis Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika (NAMSA), membantu ramai pelajar mendapatkan tempat tinggal selepas universiti mengarahkan mengosongkan asrama, tambahnya.

“Kami juga mendapat banyak permintaan rakyat Malaysia untuk membekalkan penutup hidung dan mulut,” katanya.

Justeru Azmil berkata, pelancaran ‘Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile’ (MDES) oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein amat dialukan.

Setakat ini menurut Azmil tiada kes positif atau kematian COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here