KUALA TERENGANU – Seramai 1,089 amil dilantik untuk memudahkan umat Islam yang tiada kemudahan akses Internet membayar zakat fitrah tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M Rozi Bidin berkata, amil itu dilantik mengikut mukim masjid di seluruh negeri.
Beliau berkata, umat Islam digalakkan terlebih dulu bagi mendapatkan bantuan ahli keluarga yang memahami dan mengetahui kaedah pembayaran zakat secara atas talian.
“Umat Islam yang ingin menggunakan khidmat amil diminta mematuhi langkah pencegahan, seperti melakukan jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta tidak berjabat tangan ketika urusan pembayaran dan penerimaan zakat”, katanya.
MAIDAM mengumumkan kadar fitrah tahun ini ditetapkan adalah RM7.00 seorang.
Katanya, pembayar yang tertakluk di bawah arahan kuarantin dinasihatkan supaya mewakilkan bayaran zakat kepada orang lain atau menggunakan aplikasi dalam talian.