Peniaga guna alternatif sendiri jana pendapatan ketika Ramadan

KUALA LUMPUR: Peniaga kini beralih kepada perniagaan secara dalam talian ketika bulan Ramadan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun tiada bazar Ramadan tahun ini di seluruh negara.

Rata-rata peniaga dan penjaja sudah bersedia dengan cara alternatif mereka tersendiri bagi menjana pendapatan dan menyediakan juadah berbuka puasa serta sahur.

Penjaja kuih-muih dari Klang, Selangor, Masthorah Ardi, 53, kini menggunakan perkhidmatan ambil sendiri (self-pick up) dan penghantaran makanan yang dilakukan oleh anak lelakinya dari rumah kepada pelanggan.

“Duit bantuan (Bantuan Prihatin Nasional) yang kerajaan bagi itu belum tentu cukup sampai hujung puasa,” katanya.

Siti Marsyitah Abdullah Sahad, 34, pula mengusahakan perniagaan ‘food truck’, walaupun tidak dapat menjalankan perniagaannya pada bulan Ramadan tahun ini kerana mempunyai perniagaan sambilan iaitu mengusahakan butik secara dalam talian.

“Saya mempunyai rancangan sandaran, kadangkala saya akan memasarkan perniagaan butik online yang diusahakan bersama adik saya untuk pakaian Aidilfitri ketika berniaga ‘food truck’ kepada pelanggan dan sambutannya amat menggalakkan”, katanya yang berasal dari Putrajaya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKM) Mohamed Zamri Mohammed berkata, pihaknya meneruskan pelaksanaan platform ‘Warong Digital’ di seluruh negara bagi memudahkan pelanggan mendapatkan juadah berbuka dalam talian.

“Di Wilayah Persekutuan misalnya, kami mendapat kerjasama syarikat penghantaran dan perkhidmatan ‘runner’ untuk membantu penjaja menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan bagi menggantikan bazar Ramadan”, ulasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here