PKP: Pasang, selenggara internet kini dibenarkan di zon hijau

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan internet kini dibenarkan beroperasi di dalam zon hijau iaitu kawasan yang tiada sebarang kes positif COVID-19.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan malam tadi, berkata perkhidmatan itu termasuk kerja pemasangan jalur lebar talian tetap, pembaikan, penyelenggaraan rangkaian dan pemasangan infrastruktur baharu.

“Bagaimanapun, sekiranya premis berkenaan terletak di bawah zon kuning dan merah kerja pemasangan jalur lebar talian tetap adalah tidak dibenarkan sama sekali,” menurut kenyataan itu.

Kerja-kerja perkhidmatan itu perlu mengambil kira tahap keselamatan pelanggan dan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan. Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembaikan, kakitangan syarikat telekomunikasi dan pihak pemasang juga dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan sekiranya kawasan berkenaan adalah di dalam zon hijau.

“Tindakan memasuki premis di zon kuning dan merah hanya dibenarkan untuk premis-premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Pekerja syarikat penyedia perkhidmatan dan pelanggan perlu mengemukakan deklarasi kesihatan mereka terlebih dahulu, sebelum dibenarkan beroperasi serta harus mematuhi garis panduan ketika berinteraksi seperti sentiasa memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Jelasnya, pelanggan yang menetap di kawasan zon kuning dan merah, boleh mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang boleh dilanggan tanpa keperluan pemasangan di rumah, dengan melayari laman sesawang atau menghubungi terus syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej berkenaan.

“Larangan kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di zon kuning dan merah dibuat dan melibatkan hanya dua orang penyedia perkhidmatan yang perlu memasuki kediaman pelanggan bagi menjalankan penilaian teknikal”, katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here