Sewa kondo RM178 anjur parti liar dadah, ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seramai 35 orang, termasuk 10 wanita, ditahan polis kerana terlibat dalam parti liar dadah di dua buah kondominium masing-masing di Jalan Ang Seng, Brickfields dan di Jalan Gombak, Setapak.

Dalam kes pertama seramai 12 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dengan parti liar dadah di sebuah kondominium di Jalan Ang Seng, Brickfields di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata kesemua mereka ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields berusia dalam lingkungan 17 hingga 33 tahun dan turut ditemui empat paket plastik berisi dadah jenis ganja dengan anggaran berat 9.5gram.

“Hasil siasatan lanjut turut mendapati salah seorang suspek didapati telah menyewa kondominium berkenaan dengan kadar harga RM178 untuk satu malam melalui dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Zairulnizam berkata peserta yang berminat kemudiannya dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon untuk menyertai parti liar berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan reman empat hari dari 19 hingga 22 April ini. Mereka turut dikenakan kompaun bayaran RM1,000 atas Kesalahan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) (Pindaan) 2020,” katanya.

Dalam satu lagi serbuan, polis menahan 13 lelaki dan 10 perempuan tempatan berusia 14 hingga 23 tahun dalam satu lagi parti liar di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Gombak, Setapak di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata menerusi maklumat orang awam serbuan dijalankan kira-kira 1.40 pagi dan polis turut merampas lima paket dadah jenis ketamin seberat 4.0 gram selain lapan biji pil Erimin 5 seberat 2.42 gram.

“Hasil siasatan awal mendapati peserta yang menyertai parti ini terdiri daripada rakan-rakan rapat dan dijemput melalui aplikasi WhatsApp. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati tujuh lelaki dan empat  perempuan yang ditangkap adalah positif dadah,” katanya.

Kesemua suspek ditahan di lokap Jinjang dan direman sehari untuk melengkapkan siasatan sementara kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here