KUALA LUMPUR – Golongan wanita terutama ibu atau suri rumah mempunyai peranan besar dalam bantu mencegah penularan pandemik COVID-19 serta memberikan kerjasama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pakar psikologi Dr Fauziah Mohd Saad berkata wanita terutama golongan suri rumah mempunyai ‘kuasa luar biasa’ dan merupakan insan penting dalam sesebuah institusi keluarga.
Justeru, suri rumah perlu memahami dan mempunyai maklumat yang secukupnya mengenai pandemik COVID-19 dan perkara berkaitan jangkitan itu.
“Maklumat banyak disediakan dalam televisyen mahupun media sosial, namun suri rumah perlu tapis sebarang maklumat diterima, akhir-akhir ini banyak informasi yang boleh menakutkan orang ramai, meningkatkan keresahan orang ramai, jadi seseorang ibu memainkan peranan penting, kena selidik mana yang betul”, katanya.
Fauziah yang juga Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata bagi suri rumah yang berada di luar bandar, masalah capaian internet bagi mendapatkan maklumat bukanlah satu kekangan kerana golongan itu boleh mendapatkan banyak maklumat mengenai wabak berkenaan melalui berita dan informasi yang disiarkan di televisyen saban hari.
“Dalam konteks ini suri rumah atau ibu perlu berfikiran positif supaya benda positif akan terjadi,” katanya. Ia bermula dari dalam rumah, ibu perlu menitikberatkan soal penjagaan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan”, jelasnya.
Beliau berkata ibu atau isteri juga perlu lebih kreatif, mereka boleh mengajak ahli keluarga melakukan kegiatan produktif seperti memasak bersama, membersihkan rumah, bermain ‘permainan video’ dalam talian dan sebagainya sebagai inisiatif mengelak kebosanan.
Pada 18 April lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati rakyat Malaysia untuk terus patuh kepada PKP memandangkan pendekatan itu penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak itu walaupun jumlah kes positif COVID-19 semakin menurun.